• Main
  • News

“ajk Masjid Simpan Makanan Untuk Ajk Je…”

“ajk Masjid Simpan Makanan Untuk Ajk Je…”

“AJK masjid simpan makanan untuk AJK je…”

Sepanjang hampir 3 tahun saya berkhidmat bersama pengurusan & pentadbiran masjid, terutama apabila tibanya bulan Ramadan, saya sering mendengar pelbagai tuduhan dan persepsi terhadap AJK masjid.

“AJK masjid simpan makanan…”
“AJK masjid sombong, cakap nak tinggi suara je…”
“AJK masjid cop tempat…”

Kadang-kadang ayat ini disebut dengan niat nak bergurau. Kadang-kadang pula disebut dengan nada yang penuh prasangka.

Hakikatnya, kebanyakan AJK masjid ni berkhidmat secara sukarela, tiada bayaran pun.

Mereka datang lebih awal daripada orang lain, pulang lebih lewat daripada orang lain. Merekalah yang mengurus makanan berbuka, mencari sumbangan daripada penaja, menyusun kerusi, memastikan kebersihan masjid, menjaga parkir, melayan pelbagai ragam manusia — semuanya tanpa elaun dan tanpa bayaran.

Kadang-kadang mereka juga manusia biasa.
Penat.
Tersilap.
Terlupa.
Tersalah cara bercakap.

Namun di sebalik itu, mereka tetap hadir kerana tanggung jawab mereka kepada rumah Allah.

Sepanjang pengalaman saya, ramai di kalangan AJK masjid yang:
- Datang awal petang sejak Asar untuk urus persiapan jemaah nak berbuka.
- Balik pula lewat malam selepas selesai solat witir dan kemas kawasan.
- Ada yang tak tidur 24 jam, sebab nak baiki kerosakan masjid.
- Mengorbankan masa mereka bersama keluarga demi memastikan masjid hidup dengan aktiviti & jemaah selesa hadir ke masjid.

Jika kita pernah terasa hati dengan AJK masjid, mungkin ada kekurangan pada mereka. Tetapi janganlah kita lupa untuk melihat niat dan pengorbanan mereka menguruskan rumah Allah.

Bulan Ramadan ini, jom kita ubah cara kita pandang & menghargai AJK Masjid.

Jika nampak mereka bekerja, ucapkan terima kasih.
Jika ada kekurangan diri mereka, maafkan mereka.
Jika mereka bagi arahan sehingga meninggikan suara, fahamilah keadaan mereka.

Percayalah, mereka mahukan semua jemaah seronok hadir ke masjid.

Mereka nak semua jemaah dapat jamu juadah iftar walaupun kadang-kadang AJK Masjid pun tak sempat makan lagi.

Mereka nak semua jemaah khusyuk solat walaupun kadang-kadang AJK Masjid pun tak sempat nak solat bersama imam sebab pantau anak-anak jemaah yang bermain-main di sof belakang.

Semoga Allah menerima setiap usaha kecil para AJK masjid sebagai amal soleh yang besar di sisi-Nya.

Terima kasih kepada semua Pengurusan & AJK Masjid di seluruh Malaysia. Terutamanya Masjid AL Sultan Abdullah


About Us

  • Masjid Al-Sultan Abdullah Official

    Masjid Al-Sultan Abdullah dibina pada 2015 dan siap sepenuhnya pada september 2017. Masjid ini dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dimasyhurkan sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah.